Hadith : Mimpi Rasulullah s.a.w.

Tuesday, July 7, 2009

Dari Samurah ibn Jundab r.a. meriwayatkan; Rasulullah s.a.w. seringkali bertanya kepada sahabat-sahabatnya: Adakah seseorang daripada kamu bermimpi? Maka salah seorang di antara mereka akan menceritakan mimpinya dan Rasulullah s.a.w. akan menjelaskannya. Suatu pagi Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Malam tadi dua orang datang kepadaku (dalam mimpi) dan membangunkan aku dan berkata; Pergilah bersama dengan kami. Aku berangkat bersama mereka dan kami melintasi seorang lelaki yang berbaring dan seorang lagi berdiri di sebelah atas kepalanya, dia memegang batu yang besar dan dia menghempaskan batu itu kepada lelaki (yang sedang berbaring itu) sehingga batu itu menghancurkan kepalanya.

Batu itu terlempar jauh. Sebelum batu itu sampai, kepala itu menjadi seperti sediakala. Pelempar itu melakukan hal yang sama sebagaimana dia telah lakukan sebelumnya. Dengan rasa hairan saya bertanya kepada kedua orang itu: Subhaanallah! Siapakah kedua orang ini? Mereka berkata; Mari kita berjalan terus! Maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami datang kepada seorang lelaki yang sedang tidur terlentang di atas katilnya, dan seorang lelaki yang lain berdiri di sebelahnya dengan sebatang paku besi dan dia meletakkan paku itu dari satu sisi mulut lelaki itu, maka merobek pipi salah satu daripada mukanya, hidungnya dan matanya sampai ke tengkuk dan demikian pula dia melakukan hal yang sama pada sebelah yang lain.

Ketika dia mencarik-carik salah satu bahagian dari muka orang itu, bahagian yang lain telah kembali pulih, kemudian dia kembali kepada bahagian yang pertama untuk mengulanginya. Saya bertanya kepada kedua orang itu: Subhaanallah! Siapakah kedua orang ini? Mereka berkata; Mari kita berjalan terus! Kemudian kami meneruskan perjalanan dan kami sampai pada sesuatu seperti tannur (sebuah lubang seperti tempayan yang biasanya dibuat dari tanah untuk membakar roti). Rasulullah s.a.w. bersabda; Dalam tempayan itu terdengar suara tangisan dan jeritan. Kami melihat ke dalamnya dan mendapati lelaki dan wanita dalam keadaan telanjang dan nyala api yang membakar dari bawah. Dan apabila api itu sampai kepada mereka, mereka menjerit dengan suara yang kuat. Aku bertanya kepada mereka: Siapakah mereka ini? Mereka meminta aku untuk berjalan terus! Maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami sampai ke sebuah sungai yang berwarna merah seperti darah.

Rasulullah s.a.w. menambahkan: Dan sesungguhnya dalam sungai itu ada seseorang lelaki yang sedang berenang dan di tebingnya ada lelaki yang sudah mengumpulkan batu-batu. Lelaki yang berenang itu datang kepada lelaki itu lalu membuka mulutnya dan orang yang berada di tebing sungai itu melemparkan batu ke dalam mulutnya, kemudian dia pergi dan berenang kembali. Dia kembali dan setiap kali sampai diulangi lagi perbuatan itu. Aku bertanya kepada kedua sahabatku: Siapakah mereka ini? Mereka berkata kepadaku; Teruskan, teruskan.

Maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami sampai pada seorang lelaki dengan wajah yang hodoh, wajah yang hodoh yang tidak pernah kulihat. Selain dia, ada api dan dia sedang dinyalakannya dan dia berlari mengelilingi api itu. Aku bertanya kepada sahabat-sahabatku: Siapakah orang ini? Mereka berkata kepadaku: Teruskan, teruskan. Maka kami meneruskan perjalanan kami sehingga sampai pada sebuah taman yang hijau daunnya sangat lebat yang memiliki warna dari semua sumber. Di tengah-tengah kebun itu ada seorang lelaki yang sangat tinggi dan amat sukar untuk melihat kepalanya kerana sangat tingginya dan di sekelilingnya ada kanak-kanak yang ramai yang tidak pernah aku lihat sesuatu seperti itu. Aku bertanyakan kepada sahabat-sahabatku: Siapakah orang ini? Mereka menjawab: Teruskan, teruskan.

Maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami sampai pada sebuah taman yang sangat anggun, lebih besar dan lebih cantik daripada yang pernah aku lihat. Kedua sahabatku berkata kepadaku; Pergilah dan naiklah. Maka kami naik sehingga kami sampai ke sebuah kota yang diperbuat dari emas dan batu-batanya dari emas dan perak. Maka kami pergi ke gerbangnya dan pintunya terbuka, maka kami masuk ke dalam kota itu dan kami mendapatkan di dalam lelaki dengan saparuh badannya sangat tampan sebagaimana orang yang sangat tampan yang pernah kamu lihat, dan separuh dari badannya sangat hodoh yang tidak pernah kamu lihat orang sehodoh itu.

Kedua sahabatku memerintahkan orang-orang ini untuk terjun ke dalam sungai itu (sebuah sungai yang mengalir) yang airnya putih seperti susu. Orang-orang itu pergi dan mencelupkan badannya ke dalam sungai itu kemudian kembali kepada kami dengan rupa yang tampan (keseluruhannya). Rasulullah s.a.w. menambah: Kedua sahabat-sahabatku kemudian sambil menunjuk berkata kepadaku: Itulah tempat untuk kamu, iaitu Jannatul 'Adn. Aku mengangkat pandanganku dan sesungguhnya aku melihat di sana sebuah mahligai seperti awan putih. Kemudian sahabatku berkata kepadaku; Istana itu adalah kepunyaanmu. Aku berkata kepada mereka; ØĻØ§ØąŲƒ اŲ„Ų„Ų‡ ŲŲŠŲƒŲ…ا.

Ertinya; Semoga Allah memberkati kamu berdua. Izinkan aku untuk masuk ke dalamnya. Mereka menjawab: Bukan sekarang, tetapi engkau akan memasukinya (pada suatu hari). Aku berkata kepada mereka: Aku telah melihat banyak kejadian pada malam ini, apakah maksud dari semua ini? Mereka menjawab: Kami akan memberitahu kamu. Peristiwa orang pertama yang kamu lalui, kepalanya sedang dilempari dengan batu, dia adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan kemudian tidak membacanya atau tidak beramal dengan perintah-perintahnya dan tidur tanpa mengerjakan sembahyang. Dan bagi orang yang kamu lalui ke atasnya kedua sisi mulutnya, hidung dan matanya dikoyak dari depan ke belakang, dia adalah lelaki yang keluar dari rumahnya pada waktu pagi dan menyebarkan kebohongan-kebohongan ke seluruh dunia. Dan lelaki dan perempuan yang telanjang itu yang kamu lihat dalam tempayan pembakar roti adalah penzina lelaki dan perempuan. Lelaki yang engkau lihat sedang berenang di sungai dan yang diberikan batu untuk ditelan adalah pemakan riba' dan lelaki yang kelihatan hodoh yang kamu lihat dekat api yang sedang dinyalakannya dan mengelilinginya itu adalah Malik (penjaga nereka), dan lelaki yang tinggi yang engkau melihatnya dalam taman adalah Nabi Ibrahim a.s. Dan anak-anak yang mengelilinginya adalah anak-anak yang mati dalam keadaan fitrah."
Periwayat berkata; Sebahagian sahabat bertanya kepada Nabi; Wahai Rasulullah, bagaimana dengan anak-anak orang musyrikin? Baginda s.a.w. bersabda;
"Anak-anak orang musyrikin pun (begitu) juga. Rasulullah s.a.w. menambah: Orang yang engkau lihat separuh tampan dan separuh jelek, adalah orang-orang yang bersama dengan amalan-amalan baik, memiliki juga amalan-amalan yang buruk, akan tetapi Allah mengampuni mereka."
Hadith riwayat Bukhari

0 comments:

Post a Comment

 
 
 

My Blog List

My Blog List

Like mE